Tuesday, 14 February 2017

Sekitar proses pengagihan bahan bantuan di kem pelarian Rohingya sekitar Cox's Bazar

Gara-gara masalah keselamatan cuma 25 sukarelawan flotila dibenar ke kem pelarian Rohingya


Bagi sebahagian besar sukarelawan misi Flotila ke Myanmar memang agak mengecewakan kerana mereka tidak dapat turut serta agih bantuan di kem pelarian Rohingya di selatan Bangladesh.
 
Apa nak buat kerana masalah keselamatan cuma 25 dari 182 sukarelawan sahaja yang dibenarkan oleh pihak berkuasa Bangladesh pergi kem pelarian.
 
Ketua Misi Kemanusiaan Datuk Seri Azeez Abdul Rahim berkata pihak berkuasa Bangladesh bimbang tidak dapat mengawal keadaan sekiranya kesemua 182 sukarelawan turun ke kem pelarian.
"Keselamatan tidak terjamin kerana mereka pernah jumpa senjata api di kem pelarian itu, sebab itu hanya 25 orang dibenarkan turun dan kita akur.
"Kerajaan Bangladesh syorkan kita datang balik dalam masa 15 hari jika ingin lihat proses pengagihan bekalan makanan yang dihantar," katanya.

Sebelum itu Azeez telah cuba sedaya upaya menerusi rundingan dengan pihak berkuasa Bangladesh untuk membolehkan semua sukarelawan dapat pergi ke kem pelarian yang terletak tidak jauh dari Cox Bazar.
 
Rombongan 25 sukarelawan telah bertolak menaiki bas dari Chittagong ke Cox Bazar.
 
Di pelabuhan Chittagong Azeez telah menyerahkan 2,000 tan bekalan makanan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM).
 
 Penyerahan secara simbolik itu dilakukan Abdul Azeez kepada wakil Kementerian Luar Bangladesh Khurshed Alam.
 
Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh dan IOM akan menguruskan proses penghantaran bekalan ke tiga kem di Kutupalong dan Teknaf.
"Pihak IOM akan meneliti dan membuat pemeriksaan sebelum membuat penyerahan di kem pelarian dalam tempoh seminggu lagi," katanya.- 14/2/2017- DARI HIEKAL ROSLI DI CHITTAGONG


Gambar-gambar berikut merupakan proses pengagihan bahan bantuan dari misi "FoodFlotilla for Myanmar" di beberapa kem pelarian Rohingya sekitar Cox's Bazar. diantaranya Kem Kutupalong, Leda, Balukali dan Kem Teknaf.

Foto oleh Hiekal Rosli
































Food Flotilla selamat berlabuh di Chittagong, Bangladesh

Kapal flotila sudah berlabuh Chittagong...

Di pelabuhan Yangon Khamis lalu adalah fasa pertama misi Flotila ke Myanmar hantar bantuan kepada etnik Rohingya...tengahari Selasa kapal Nautical Aliya berlabuh di pelabuhan Chittagong untuk fasa kedua misi kemanusiaan itu.
 
Kapal berkenaan asalnya diminta berlabuh di Cox Bazar sejurus masuk ke perairan Bangladesh pagi semalam.Namun pihak berkuasa Bangladesh ubah keputusan minta kapal terus berlayar ke Chittagong.
 
Sejak bertolak dari Pelabuhan Kelang misi itu kini sudah masuk hari ke 12 dengan membawa pelbagai bantuan termasuk makanan dan ubatan.
 
Nautical Aliya tiba di pelabuhan Chittagong jam 12.30  tengahari dengan diiringi dua bot pengawal pantai Bangladesh serta kapal Tentera Laut Bangladesh.
 
Ketua misi kemanusiaan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berterima kasih kepada kerajaan Bangladesh kerana membantu menyediakan laluan khas ke pelabuhan.
 
"Memang pelabuhan ini sibuk dan harapnya semua urusan dipermudahkan," katanya.
 
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini hanya 25 sukarelawan dibenarkan turun ke darat untuk pergi ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh.
 
"Kami akan adakan perbincangan dan rundingan bagi membolehkan semua sukarelawan turun membantu di kem pelarian Rohingya," katanya.

Misi itu yang dikenali sebagai Food Flotilla for Myanmar anjuran Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia disertai 182 sukarelawan merangkumi wakil pertubuhan bukan kerajaan dari Malaysia dan negara luar, pasukan perubatan, tenaga pengajar dan pengamal media.- 14/2/2017 - DARI MOHAMED HIEKAL DIATAS KAPAL NAUTICAL ALIYA DI CHITTAGONG,BANGLADESH












Saturday, 11 February 2017

Nautical Aliya selamat tiba di Yangon, Myanmar

Liputan meluas media antarabangsa misi Flotila ke Myanmar...


Misi kapal Flotila ke Myanmar yang berlabuh dan menurunkan bantuan kepada etnik Rohingya di pelabuhan Yangon petang Khamis telah mendapat liputan meluas media antarabangsa.
Turut menjadi fokus laporan ialah demonstrasi kecil oleh puak sami Buddha dan aktivis Myanmar yang anti-Rohingya semasa kapal Nautical Aliya sampai di pelabuhan itu.
Antara media antarabangsa yang melapor kejayaan peringkat pertama misi itu ialah Aljazeera,Foxnews,Associated Press,Reuters,Channel News Asia,Daily Mail,New Zealand Herald,Bangkok Post.
Selain itu misi yang dipelopori Malaysia itu ia dilaporkan portal berita dan blog dari pelbagai negara.
Sementara itu kapal Nautical Aliya meninggalkan pelabuhan Yangon pada jam 1.45 tengahari waktu Malaysia Jumaat meneruskan pelayaran ke Chittagong, Bangladesh.
Ia belayar keluar dari pelabuhan itu tidak lama selepas kerja-kerja memunggah barang bantuan selesai. 
Selepas sahaja fasa pertama misi kemanusiaan 'Food Flotilla for Myanmar' di negara ini selesai , kapal 'Nautical Aliya' meneruskan pelayaran ke Chittagong, Bangladesh Jumaat.

Ketua misi Datuk Seri Azeez Abdul Rahim ketika bercakap pada wartawan yang menyertai misi itu berkata pelayaran ke Chittagong akan mengambil masa tiga hari.
Mereka dijangka tiba pada Isnin ini (13 Feb) namun ia bergantung kepada keadaan laut.
"Harap seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan kami untuk agihkan baki bekalan yang dibawa kepada masyarakat Rohingya (di Bangladesh).

"Kami juga harap kerajaan Bangladesh memberi kerjasama bagi memastikan misi ini tercapai," katanya.
Mengulas mengenai protes sekumpulan warga Myanmar, beliau menganggap tindakan itu isu terpencil, sebaliknya memuji usaha kerajaan Myanmar yang membantu menjayakan misi ini.

"Kita lihat sendiri Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr Win Myat Aye tunggu lebih dua jam untuk sambut ketibaan kami.
"Tunjuk perasaan itu hanya 'isolated case' dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana semua proses berjalan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya.
Azeez berkata kerajaan Myanmar akan membantu memastikan 500 tan metrik bekalan yang dihantar diserahkan kepada masyarakat Rohingya di Rakhine.
"Mereka (kerajaan Myanmar) juga boleh agihkan bantuan ini kepada orang bukan Islam yang daif," katanya.
Misi yang masuk hari kelapan ini membawa 2,300 tan makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut, dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.

'Food Flotilla for Myanmar' yang dianjurkan oleh Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu disertai 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa serta wakil badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara.- 10/2/2017- DARI MOHAMED HIEKAL ATAS KAPAL NAUTICAL ALIYA