Sunday, 4 December 2016

Sekitar Himpunan Solidariti Ummah Rohingya

‘Enough is enough’… kata PM di Himpunan Solidariti Rohingya yang bergegar


‘Feel’ suasananya cukup terasa jika hadir sendiri.Ia tidak sama seperti menonton di kaca televisyen atau baca berita mengenai Himpunan Solidariti Ummah Rohingya di Stadium Titiwangsa,Kuala Lumpur pagi Ahad.
 
Gema ‘Allah Hu Akbar’ dan ‘ Takbir’yang bergegar dari  himpunan menentang kekejaman Myanmar keatas etnik miniroti Islam negara itu yang disertai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang cukup menusuk.
 
Malah ada kalangan pelarian Rohingya di sini yang turut serta dalam himpunan itu kelihatan berlinang air mata melihat solidariti rakyat Malaysia terhadap nasib malang mereka dihimpit segala bentuk kekejaman puak ekstremis Myanmar.
 
Stadium Tititwangsa yang boleh menampung kira-kira 5,000 orang tidak dapat muat orangramai yang datang.Ribuan terpaksa berhimpun di khemah besar di luar menyaksikan himpunan dalam stadium menerusi CCTV.
 
Apa yang menarik ia mencatatkan sejarah himpunan besar pertama  - memperjuangankan isu bersama- yang dihadiri oleh pimpinan dan Ahli UMNO dan juga pimpinan dan ahli PAS selain NGO-NGI Islam dan orangramai.
 
Hadirin telah memberi tepukan gemuruh menyambut kehadiran Najib dan Hadi serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.
 
Selain ramai menteri termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan pimpinan pelbagai peringkat PAS hadir.
 
Dalam ucapan yang berselang seli dengan terpukan gemuruh hadirin Najib antara lain menegaskan beliau akan memperjuangkan nasib Rohingya sampai beres.
 
“Kita nak bagi isyarat pada Myanmar…Aung San Suu Kyi …enough is enough”,tegasnya.
 
Untuk menarik lagi perhatian dunia pada nasih orang Rohingya,Perdana Menteri kata beliau akan memohon Presiden Indonesia Joko Widodo supaya mengadakan perhimpunan aman dengan rakyat negara itu sebagai tanda memperjuangkan nasib masyarakat Rohingya.
 
"Jangan protes Ahok (Gabenor DKI Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang didakwa hina Islam ) sahaja, Rohingya mesti diperjuangkan, mereka boleh berhimpun di Jakarta, kita nak tunjuk kita tidak reda, kita mesti bertamadun, jaga nyawa dan harta benda, ini tanggungjawab kita sebagai sebahagian daripada maqasid syariah...ini wajib," katanya.
 
Beliau berkata isu Rohingya begitu mencengkam kalbu umat Islam di negara ini kerana agama Islam dihina manakala hak asasi manusia pula dirobek.
 
"Hari ini umat Islam dan bukan Islam menyatakan pendirian kita yang cukup tegas bahawa kita nak memberi isyarat kepada kerajaan Myanmar, nak beritahu Aung San Suu Kyi... sudahlah tu," katanya sambil menjelaskan Malaysia bukan mahu campur tangan dalam urusan negara berkenaan.
 
Kata Najib, kehadiran beliau pada perhimpunan itu walaupun digertak kerajaan Myanmar, sebagai mempertahankan bukan hanya agama Islam, tetapi hak asasi manusia. "Ia (Myanmar) pakai satu saja artikel dalam ASEAN iaitu kita tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal negara lain, dia tidak baca artikel lain mengenai hak asasi manusia.
 
ASEAN juga mempertahankan hak asasi manusia, mereka ini buta ke? Janganlah tafsir ikut sesuka hati.
 
"Apabila berlaku kezaliman, kekejaman, orang dibunuh, dibakar hidup-hidup, dirogol, dipukul... apakah ini bukan penentangan hak asasi manusia?," katanya sambil mempersoalkan makna anugerah Nobel Keamanan yang dimiliki pemimpin negara tersebut.
 
Perdana menteri berkata beliau selaku ketua kerajaan yang mewakili 31 juta rakyat Malaysia tidak boleh 'tutup mata' dan membisu dengan kekejaman yang berlaku.
 
Dalam pada itu, Najib berkata perhimpunan hari ini turut melakar sejarah kerana rakyat mengetepikan perbezaan politik atas nama Islam dan kesatuan ummah.
 
"Kita ada UMNO dan PAS dalam perhimpunan ini. Kita boleh berbeza pendapat tetapi dalam soal Islam, soal ummah, ini wajib, ini bukan politik," katanya.
 
Perdana Menteri mendesak badan antarabangsa serta negara komuniti ASEAN mengambil tindakan dalam menghentikan kekejaman dan penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.
 
Beliau meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya tidak sekadar menyaksikan kekejaman berlaku, sebaliknya mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
 
"OIC, tolong jangan tengok saja, lakukanlah sesuatu. PBB, dunia tidak boleh berdiam diri dan hanya menyaksikan pemusnahan bangsa, ini adalah masalah kita. Beratus ribu sebelum ini mati di Rwanda dan Bosnia, dunia hanya melihat dan lewat bertindak, kali ini kami tidak mahu hanya menunggu dan melihat," katanya.
 
Haji Hadi dalam ucapan antara lain kata kekejaman yang berlaku di Myanmar sudah tidak bertamadun.
 
Presiden PAS itu juga menolak anggapan kerajaan Myanmar himpuan  hari ini adalah satu bentuk campurtangan keatas hal dalam negara itu.
 
Katanya seharusnya krisis kemanusiaan Rohingya bukan sahaja mewajibkan campur tangan Malaysia bahkan juga negara-negara Asean yang telah menandatangani piagam hak asasi manusia.
 
Menurutnya kerajaan Malaysia wajib bersama dengan kerajaan yang lain yang mempertahankan hak asasi manusia perlu campur tangan dalam kezaliman yang berlaku di Myanmar agar mendapat pembelaan.
 
"Bukan sahaja terhadap penganut Islam Rohingya, termasuk suku kaum yang dianggap bukan penduduk asal Burma padahal mereka sudah duduk beribu tahun di situ macam dinafikan hak mereka," katanya lagi.
 
Haji Hadi berpendapat langkah perlu didahului menerusi saluran diplomatik sebelum langkah lain diambil.
 
Beliau yang jelas teruja dengan himpunan itu menegaskan, “ marilah kita ( orang Islam) bersama…dalam isu sama.”
 
Zahid dalam ucapan beliau kata pembelaan terhadap etnik Rohingya yang dizalimi di Myanmar bukan soal campur tangan Malaysia di negara itu, sebaliknya ia adalah atas dasar kemanusiaan.
 
Timbalan perdana menteri menegaskan bahawa sikap mengambil berat itu adalah atas dasar sikap kepedulian universalisme yang ditunjukkan oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.
 
"Kita mahu masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah mengambil tindakan terhadap tentera di Myanmar.
 
"Kita merasakan bahawa rakan-rakan kita (Rohingya) harus dibela (bukan sahaja) oleh kita, tetapi juga oleh masyarakat antarabangsa keseluruhannya," katanya.
 
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mempersoalkan peranan pemimpin Myanmar yang telah menerima anugerah keamanan tetapi masih berlaku penindasan dan kezaliman terhadap etnik Rohingya.
 
"Kita mahu bertanya kepada pemimpin yang berada di negeri itu (Myanmar), yang menerima anugerah yang tertinggi dari segi keamanan, apa yang dilakukan di negeri itu untuk mewujudkan keamanan?" katanya.
 
Selain itu,  Zahid menegaskan bahawa perjuangan dan pembelaan terhadap kesengsaraan etnik Rohingya sentiasa berterusan dan tidak akan terhenti.
 
"Ini bukan hari pertama dan bukan hari terakhir, kita rakyat Malaysia akan bangkit untuk perjuangkan nasib etnik Rohingya," katanya.- 4/12/2016